Monday, June 2, 2014

Utusan Malaysia 27-05-2014 Pemasangan tanda keselamatan perlu disegerakan

KUALA LUMPUR 26 Mei - Ibu bapa pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Selayang 1 & 2 dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Selayang, dekat sini meminta pihak berkuasa tempatan menyediakan papan tanda dan bonggol di hadapan sekolah berkenaan bagi ke­selamatan pelajar. Seorang suri rumah, Ardawati Hamzah, 34, berkata, ketiadaan bonggol dibina di hadapan sekolah itu menyebabkan keadaan lalu lintas di situ sukar dikawal. Katanya, dia amat bimbangkan keselamatan anaknya yang keluar masuk dari sekolah itu kerana kenderaan yang melalui jalan di situ se­ring dipandu laju. "Di sini pernah berlaku kemalangan melibatkan seorang pelajar yang tiba-tiba melintas dan hampir dilanggar kereta. "Walaupun tidak melibatkan nyawa, ia sesuatu yang amat membimbangkan ," katanya. Ibu kepada seorang pelajar pra sekolah di situ pula, Zainun Bebe, 40, turut melahirkan rasa kesal kerana kegagalan pihak bertanggungjawab memasangkan papan tanda keselamatan di hadapan sekolah itu. Katanya, keadaan bertambah buruk apabila lampu isyarat yang rosak tidak diperbaiki sehingga ke hari ini. "Pihak bertanggungjawab perlu segera turun padang melihat masalah ini demi keselamatan dan keselesaan pelajar," katanya. Turut berkongsi perasaan, seorang pemandu teksi, Bahari Ismail, 64. Dia yang mengambil cucunya dari sekolah berkenaan keadaan di situ sesak terus sebaik sesi persekolah tamat. "Selain bas sekolah, kenderaan ibu bapa yang ingin mengambil pelajar yang diletakkan di bahu-bahu jalan turut memburukkan lagi keadaan di situ. "Lebih membimbangkan, tindakan pemandu kenderaan berat yang memandu laju di kawasan ini," katanya. Dalam pada itu, seorang penyelia logistik di sebuah syarikat swasta, Fauzi Radzi, 46, turut bersetuju dengan cadangan agar pihak berkuasa tempatan memasang ciri-ciri keselamatan di situ demi ke­selamatan pelajar. Katanya, ini termasuklah pemasangan bonggol di hadapan sekolah berkenaan. "Pihak berkuasa juga perlu me­lakukan operasi bagi mengekang kegiatan pemandu yang memandu laju bagi menyedarkan mereka mengenai kepentingan mematuhi peraturan jalan raya," katanya. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Kota/20140527/wk_02/Pemasangan-tanda-keselamatan-perlu-disegerakan#ixzz33TNjBg3P © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment